Wakaf Telaga Al-Rumah Motivasi Berharta Itu Tidak Berdosa

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Kisah Telaga Al-Rumah Menjadi Motivasi Bagi Umat Islam Untuk memperbaiki ekonomi sendiri dan bersedekah dengan mengharapkan balasan hanya dari Allah Azza Wa Jalla.

Antara sejarah terbesar di dalam sejarah wakaf dan ekonomi umat Islam ialah sejarah wakaf telaga Al-Rumah oleh Saidina Uthman ibn Affan r.a.

Uthman ibn Affan r.a adalah salah seorang sahabat Nabi yang dimuliakan oleh Allah Azza Wa Jalla kerana perjuangannya dan sedekah hartanya ke jalan Allah untuk menyebarkan Islam.

Kisah telaga Al-Rumah ini bermula apabila umat Islam baru saja berhijrah dari Mekah ke Madinah dan tidak memiliki bekalan air yang baik. 

Ketika itu di Madinah, tiada sumber air minum yang sedap melainkan dari telaga Al-Rumah yang dimiliki oleh orang Yahudi.

Lalu Rasulullah s.a.w pun bersabda dengan maksudnya.

“Sesiapa yang membeli telaga al-Rumah ini dan mewakafkan airnya kepada orang-orang Islam, dia akan diberikan pahala berdasarkan setiap timba air yang disedekahkan itu dan kelak dia akan meminum air di dalam syurga.”

Dan mengikut riwayat, Saidina Uthman telah menawarkan untuk membeli telaga tersebut dari yahudi itu.

Pada peringkat permulaannya, yahudi itu bersetuju untuk menjualnya dengan harga 12,000 dirham bersamaan dengan RM13,656 (mengikut dirham AED) dengan syarat hanya menjual separuh saja dari telaga tersebut dan pengunaannya pula secara berselang dengan yahudi tersebut

Sebagai contoh hari Isnin giliran Saidina Uthman r.a dan hari berikutnya adalah giliran yahudi itu.

Saidina Uthman bersetuju dengan penggiliran tersebut. Umat Islam Madinah pun mengambil manfaat air di telaga itu apabila tiba hari giliran Saidina Uthman r.a.

Jualan air telaga Yahudi itu mula merosot kerana umat Islam mengambil air pada hari giliran Saidina Uthman r.a dan tidak lagi membeli dari yahudi tersebut apabila tiba gilirannya.

Apabila jualan sudah mula merosot, yahudi tersebut bersetuju untuk menjual baki pemilikan telaga tersebut kepada Saidina Uthman r.a dengan harga 8,000 dirham bersamaan RM 9,000 (mengikut pertukaran AED).

Selepas dari itu, telaga tersebut telah dimiliki sepenuhnya oleh Saidina Uthman r.a dan beliau telah mewakafkan telaga tersebut keseluruhannya untuk penggunaan umat Islam di Madinah.

Sehingga hari ini telaga itu masih lagi memberi manfaat kepada umat Islam di sana.

Telaga itu terletak 1 km dari Masjid Qiblatain di Jalan Abu Bakar As-Siddiq dan kini dijaga dibawah tanggungjawab Kementerian Air dan Pertanian Arab Saudi. (Lihat Buku Madinah Munawwarah: Kelebihan dan Sejarah oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, hlm. 108-111)

Jadi bagi sesiapa yang pergi mengerjakan ibadat umrah ataupun haji bolehlah menziarah dan mengambil manfaat dari telaga tersebut yang terletak di sana.

Sesungguhnya harta wakaf dan sedekah adalah amalan yang berpanjangan walaupun pemberi itu telah meninggal dunia.

Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang maksudnya:

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”  Riwayat Muslim (1631)

Bagi umat Islam tidak salah untuk mengumpul harta dan menjadi kaya, jika harta itu berjaya mendekatkan diri kepada Sang Pencipta dan Maha Kaya contohnya dengan amalan bersedekah itu tadi. 

Berharta itu tidak berdosa tetapi jalan menuju Syurga.