Kita Juga Ujian Bagi Orang Lain.

Tanpa kita sedar, kita adalah ujian bagi orang lain.

Selalunya apabila kita dirundung masalah, kita diajar dan dididik serta didoktrinkan atau dihasut dalam usrah, kuliah atau tausiah untuk sentiasa bersangka baik dengan takdir dan orang yang menguji kita itu.

Dengan berbekalkan kalam Allah dan hadith-hadith Nabi yang kita cintai, kita gunakannya untuk menguatkan sabar dan husnuzon iaitu sangka baik kita atas apa yang berlaku.

Kita pun teruskan kehidupan dengan jayanya, dan kasih sayang Allah selalunya akan melenyapkan ujian itu lalu hati ita pun tenteram dan tenang.

Selang beberapa hari, bulan, jam, ataupun saat. Kita diuji lagi dengan ujian yang menyebabkan kita rasa gundah dan gelisah. Kita ratibkan doa, kita ingat kembali pesan Allah dan wasiat Nabi s.a.w yang menganjurkan kita untuk terus bersangka baik dengan takdir dan orang yang menguji kita itu tadi.

Kemudian kita teruskan kehidupan seperti biasa, dan akhirnya dengan kasih sayang Allah, masalah itu hilang bersama dengan masa yang pergi.

Kita tahu dan sedar yang kita sentiasa diuji.

Tanpa kita sedar, kita juga ujian bagi orang lain. Kredit gambar dari https://www.medicalnewstoday.com/

Kita Juga Menguji.

Tetapi apakah kita sedar kita juga menguji?

Menguji ibubapa.
Menguji guru-guru.
Menguji sahabat.
Menguji pasangan kita.
Menguji bos.
Menguji pekerja.
Menguji orang sekeliling.

Dengan erti kata lain, kerana kita mereka itu ditimpa masalah dan musibah yang kita sendiri tidak tahu ia berpunca daripada kita.

Boleh jadi berpunca daripada kata-kata kita. Boleh jadi dari pe’el kita.

Kita seperti biasa, kita menikmati kehidupan dengan baik.

Tetapi mereka yang kita uji itu, mengangkat tangan kepada Rabb Al-Jalil memohon dimudahkan urusannya yang diuji oleh kita, memendam seribu rasa yang bercampur antara husnuzon dan su’udzon.

Berusaha menguatkan hati agar silaturrahim terus dipertahankan, tidak menyembur kata nista dan maki baik dari hati ataupun dari mulut sendiri.

Mereka itu berjuang setiap hari agar hatinya dikuatkan untuk menempuh ujian itu tadi.

Dan ada kadangkala sesetengahnya dan tidak semua tersembur kata-kata menyindir, atau berterus-terang terus bahawa dia mempunyai masalah dengan kita, berkenaan dengan kata-kata kita atau sikap kita, dan akhirnya kita tidak mahu meneropong ke dalam diri sendiri tetapi menyalahkan pula orang tersebut.

Kita minta mereka ikhlas.
Kita minta mereka faham.
Kita minta mereka husnuzon.

Tetapi tahukah kita, dia itu sudah berjuta kali mempertahankan keikhlasannya walaupun dia dilayan seperti lembu oleh kita?

Tahukah kita yang dia cuba faham keadaan kita tetapi kita kerap dan berulang-kali melakukan kesilapan yang sama dan akhirnya dia tidak faham kenapa kesilapan itu berulang kali berlaku.

Tahukah kita bahawa dia telah husnuzon sebanyak 1,050,487 kali dengan perangai dan kata-kata kita, dan kita tetap mengulangi benda yang sama.

Kehidupan ini menguji dan memenatkan. Sama ada kita diuji atau menguji. Kita pohon kepada Tuhan agar persahabatan dan perhubungan yang dibina sama ada secara sengaja ataupun tidak ini menjadi penyebab kita bersama-sama ke Syurga, bukan kita atau mereka ke Neraka.

Leave a Reply

Name *
Email *
Website