Kaya itu Jahat, Benarkah?

Kaya itu Jahat, benarkah?

Banyak drama-drama Melayu atau bangsa apa pun akan menampilkan orang kaya itu sifatnya mesti jahat, tamak dan rakus. 

Sebaliknya yang miskin mesti baik, budiman, berakhlak atau bermoral dan soleh serta kerap berdoa. Yang berharta pula berlagak ‘Tuhan’. Betulkan?

Iya begitulah kita ditampakkan bagaimana sifat orang kaya dan miskin sehingga kita mempercayainya dan membina cita-cita darinya.

“Biarlah hidup miskin, yang penting beramal soleh dan ikut perintah Tuhan.”, kata salah seorang kenalan saya.

Tapi, wajarkah drama TV itu menjadi asas kepada kepercayaan kita bahawa ‘orang kaya itu jahat’?

Pada mulanya saya pun percaya begitu juga, apatah lagi apabila saya menjadi saksi bagaimana sebuah rumahtangga yang dibina hampir 30 tahun musnah gara-gara si suami yang sudah berpangkat, berjawatan tinggi dan kaya itu kepingin mengahwini perempuan sebaya anaknya sehinggan menceraikan isterinya yang umurnya sebaya arwah ibu saya.

Bermonolog sendiri, bagaimana lelaki tua yang usianya sama seperti ayah saya itu tergamak buat begitu kepada keluarganya terutama isterinya?

Apalah kata anak-anak?

Apalah kata cucu-cucu?

Apalah kata menantu-menantu?

Itu belum lagi orang agama yang bijak memanipulasi sebab dan tujuan untuk mengaut keuntungan dan laba dunia.

(gambar dari laman web https://www.5dollardinners.com/money-is-a-bad-master-personal-finance/)

Tetapi, pada masa yang sama saya juga berhadapan dengan orang yang kaya berharta tetapi masih lagi hidupnya baik, setia dengan pasangan, rajin solat berjemaah di masjid, penyayang dengan anak-anak dan cucu, suka bersedekah dan membantu.

Bahkan, ada lelaki yang seumur ayah saya mempunyai harta yang melimpah tambah pula isterinya sudah meninggal, tetapi masih memilih untuk hidup seadanya dengan anak-anak dan cucu-cucu dan memilih untuk menduda bahkan dia punya seribu satu sebab untuk menikah satu lagi yang memang bukan salah pun dari sudut moral dan agama.

Jadi, apakah silap itu adalah berpunca dari duit atau manusia?

Kata guru saya,

“Duit itu tidak jahat tidak baik, tetapi duit itu mampu menjelmakan diri seseorang yang sebenarnya.”

Oh ya, Saidina Uthman r.a pun menggunakan hartanya untuk membeli telaga milik seorang Yahudi lalu diwakafkan kepada umat Islam untuk kegunaan mereka.

Jadi, sekali lagi orang kaya itu jahat,benarkah?

Leave a Reply

Name *
Email *
Website