Insurans itu Haram?Kenapa?

Insurans itu Haram.

Insurans dalam kehidupan seharian kita.

Dalam kehidupan seharian kita, kita tidak dapat lari dari membicarakan hal-hal berkaitan kewangan. Dan salah satu bab yang selalu menjadi persinggahan di mulut-mulut ramai orang ialah Insurans.

“Nak pergi mana syekh?”, tanya saya.

“P pos opis sat, p hidupkan insurans kereta, bulan depan mati dah.”,balas sahabat saya.

Yang selalu menjadi bualan orang ialah Insurans kereta dan insurans hayat atau dengan nama lain insurans keluarga.

“Mak sedara aku masuk hospital minggu lepas, semua insurans tanggung, rezeki dia sebab anak-anak dia sempat buatkan Medical Card untuk dia.”, cerita seorang sahabat.

Dalam buku Adam Khoo iaitu Self-Made Secret Millionaire, Adam Khoo menekan perihal kepentingan mencarum insurans sebagai langkah permulaan membina kekayaan dan mengstabilkan pengurusan kewangan peribadi. Jika berlaku satu-satu musibah, insurans dapat digunakan sebagai pampasan untuk menanggung musibah yang menimpa tanpa perlu keluarga tersebut menjual aset-aset dan mengeluarkan simpanan di bank untuk menampung kerugian akibat dari musibah tersebut, itulah umumnya kebaikan insurans.

Tetapi tahukah kita, bahawasanya Insurans juga tertakluk di bawah hukum halal dan haram sama seperti makanan?

Jadi apakah hukum Insurans?halal ke haram?

Insurans itu Haram.

Insurans itu haram. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) pada tahun 1972 telah memutuskan 

“that Life Insurance provided by present-day insurance companies is a business transaction which is voidable because it contradicts the Islamic business principles in view that the contract contains the element of gharar, maysir and riba’.” (Basic Takaful Practices Entry Level for Practitioners, IBFIM, page 45)

“Insurans Hayat yang diberikan oleh syarikat-syarikat Insurans masa kini ialah satu urusniaga yang rosak kerana bercanggah dengan cara urusniaga Islam disebabkan kontrak-kontrak tersebut megandungi unsur gharar, maysir dan riba.”

Apakah itu gharar, maysir dan riba?

Gharar, maysir dan riba’ adalah istilah yang wujud adalam muamalat dan perbankan islam. 

Gharar itu bermaksud ketidaktentuan, maysir bermaksud judi dan riba’ pula bermaksud bunga ataupun interest atau sebarang penambahan dalam barangan tertentu dan tambahan di atas sesuatu hutang dalam tempoh tertentu.

Gharar dalam Insurans.

Terdapat beberapa unsur ketidaktentuan atau Gharar dalam insurans, contohnya:

1. Kedua belah pihak iaitu pihak yang memberi Insurans dan pihak yang dilindungi tidak tahu apakah kewajipan mereka dalam kontrak tersebut. Baik pihak yang memberi perlindungan dan pihak dilindungi.

2. Pihak yang dilindungi tidak tahu berapa jumlah pampasan yang dia akan dapat jika berlaku sebarang musibah atau kemalangan. 

3. Pihak yang memberi perlindungan pula tidak tahu bila akan berlaku musibah.

4. Pihak yang memberikan perlindungan tidak dapat dipastikan janjinya dalam membayar wang pampasan kepada pihak yang dilindungi. Dan asas ketidaktentuan kontrak saat dimeterai membawa kesan kepada ketidaktentuan pertukaran dari kontrak tersebut.

Riba’ dalam Insurans.

Riba’ yang membawa maksud sebarang penambahan kepada sesuatu. Dan Islam telah melarang sebarang bunga atau penambahan dari hutang sebagai keuntungan kepada pihak peminjam dan penindasan kepada yang meminjam.

Riba’ dalam insurans, datang dari beberapa contoh:

1. Pihak syarikat insurans melaburkan wang pencarum di dalam pelaburan yang mengandungi bunga atau riba’.

2. Insurans mengandungi riba’ apabila mereka berjanji untuk membayar lebih dari jumlah caruman yang dibayar.

3. Bunga dikenakan jika lambat membayar caruman.

Maysir di dalam riba’.

Maysir bermaksud judi atau membawa maksud mendapatkan sesuatu dengan terlalu mudah atau tanpa membuat apa-apa seperti bermain nombor ekor.

Unsur judi di dalam insurans ialah:

1. Orang yang dilindungi mendapat jumlah pampasan yang besar dengan nilai caruman yang tidak setara. 

2. Pihak syarikat rugi jika terlampau banyak tuntutan dari pihak yang dilindungi.

3. Membayar caruman tanpa mendapat apa-apa sebagai pulangan, dan memberi keuntungan besar kepada syarikat insurans lagi-lagi apabila tiada tuntutan dibuat.

Unsur-unsur haram tersebut terdapat dalam semua jenis insurans baik insurans hayat ataupun am seperti rumah dan kenderaan.

Dan pasti, sudah menjadi tanda tanya, jika insurans ini haram dengan sebegitu banyak sebabnya, apakah solusi atau alternatifnya yang bertepatan dengan Islam?

Takaful Adalah Solusinya.

Sebagai orang Islam, persoalan halal haram sudah sepatutnya diambil berat kerana ia melibatkan keberagamaan seseorang dan keredhaan Tuhan dalam kehidupan.

Apabila insurans telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, pada tahun 1982 kerajaan Malaysia pada ketika itu telah menubuhkan satu komiti yang dikenali sebagai Badan Petugas Khas untuk mengkaji kemungkinan penubuhan Insurans Islamik di Malaysia. 

Komiti tersebut mengatakan bahawa kontrak dalam insurans itu rosak, walaubagaimanapun konsep insurans iaitu memberi perlindungan itu sendiri tidaklah ditentang tetapi kelemahan-kelemahan yang wujud dalam kontrak insurans itu sendiri yang menjadi sebab insurans itu ditolak.

Lalu Akta Takaful 1984 telah digubal dan membawa kepada kewujudan dan penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Bhd yang menjadi solusi kepada masalah ini.

Konsep Takaful.

Asas dalam kontrak Insurans ialah kontrak jual beli. Sebagai contoh pencarum membayar sekian premium bulanan kepada syarikat, syarikat akan memberikan perlindungan dari segi kewangan atau pampasan jika berlaku apa-apa musibah kepada pencarum atau peserta.

Menjadi isu kontrak di atas ialah setiap urusan jual beli seperti kontrak insurans di atas mestilah mempunyai barang yang dijual, dan dalam hal ini pampasan dalam bentuk wang ringgit itu tadi menjadi barangnya.

Isunya, barang yang diterima tidak setimpal dengan bayaran premium yang dikenakan pada setiap bulan, dan inilah menjadi tegahan Rasulullah s.a.w bahawasanya nilai sesuatu barang yang ditukar mesti setara nilainya dengan barang yang satu lagi.

Tambahan pula jumlah pampasan itu sendiri tidak diketahui berapa walaupun dinyatakan dalam skim insurans kerana musibah belum berlaku dan ini sudah tentu berapa nilai tepat yang diperolehi tidak dapat dipastikan.

Jadi menjadi persoalan, bagaimana kontrak yang digunakan oleh pihak Takaful?

Jika kontrak insurans itu tadi menggunakan kontrak jual beli, kontrak Takaful pula menggunakan konsep sedekah atau derma (Tabarru’). Hasilnya akad derma tidak terikat dengan syarat jual beli tadi, tidak juga diperlukan untuk jelas dan terang jumlah itu dan ini semasa serahan derma.

Perbezaan Insurans dan Takaful.

Perbezaan Insurans dan Takaful.

Akhir sekali, besar harapan saya dengan perkongsian ini dapat menyedarkan kepentingan terlibat dengan urusniaga yang berpatutan dengan syariah dan menjauhi larangan yang telah Allah tetapkan.

Sesungguhnya, mencari harta dan membina kekayaan itu tidak berdosa jika kita mematuhi segala perintah dan laranganNya serta tahu batas-batasnya, dan jika ia dituruti sebaiknya, ia adalah jalan menuju ke Syurga.

One thought on “Insurans itu Haram?Kenapa?

Leave a Reply

Name *
Email *
Website