Hibah dan Penama

Hari ini banyak perunding takaful yang mempromosi Hibah merata-rata, seruan-seruan seperti “Jom Hibah”, “Ayuh buat Hibah”, atau yang seumpama dengannya banyak berlegar dan ia banyak disebarkan oleh perunding-perunding takaful.

Hibah.

Hibah ini secara umumnya bermaksud hadiah, dan dalam konteks takaful bermaksud pemilik polisi memberikan wang pampasan kepada sesiapa saja yang dia mahukan, tidak kira ahli keluarga, kawan-kawan, saudara-mara atau organisasi.

Pokoknya, tiada siapa dapat menghalang atau membantah Hibah ini kerana ia adalah hak pemilik polisi 100 peratus. Dan ia tidak boleh diwariskan atau difaraidkan melainkan penerima hibah itu meninggal dunia sebelum dia sendiri belum sempat membuat hibah atau penamaan.

Penama.

Berbeza dengan hibah, penama adalah pemegang amanah yang akan menguruskan harta atau wang pampasan kita selepas meninggal dunia.

Penama diamanahkan untuk menyelesaikan hutang-hutang yang ditinggalkan si mati iaitu pemilik polisi, menyelesaikan kos pengebumian jenazah si mati, dan menguruskan wang pampasan atau harta tersebut melalui proses faraid kepada waris setelah mendapat surat mentadbir.

Penama ini boleh dibuat kepada individu, atau kepada wakil pengurusan harta pusaka seperti Amanahraya.

Hibah Tidak Mampu Menyelesaikan Hutang.

Hibah tidak mampu menyelesaikan hutang si mati. Walaupun ada sesetengah perunding atau ejen takaful mempromosi hibah boleh menyelesaikan hutang-hutang si mati, hakikatnya hibah tidak mampu menyelesaikan hutang si mati atau pemilik polisi takaful tersebut.

Kenapa tidak boleh?

Telah saya terangkan tadi, hibah adalah hadiah yang diberikan pemilik polisi kepada yang orang dihibahkan. Ertinya, orang yang menerima hadiah atau hibah tersebut tidak bertanggungjawab atau diamanahkan untuk menyelesaikan hutang si mati kerana wang atau harta tersebut adalah milik 100 peratus penerima hibah tersebut.

Penerima hibah tersebut tidak boleh disalahkan jika tidak melunaskan hutang-hutang tersebut atau menguruskan harta itu secara faraid kerana harta tersebut telah menjadi milik dia sepenuhnya.

Walaupun kita sebagai pemilik polisi menyimpan sangkaan baik kepada orang yang menerima hibah tersebut samada isteri, suami, anak atau adik-beradik atau sesiapa saja untuk menyelesaikan hutang-hutang kita selepas meninggal dunia. Hakikatnya, ia bukanlah langkah yang baik dan bijak.

Saya mahu mengajak kepada pembaca agar mengambil langkah yang proaktif dan berhati-hati supaya jika kita mahu hutang-hutang kita diselesaikan selepas kita meninggal, sebaiknya buat lah penama kepada orang yang kita percaya, atau lebih baik lagi melantik penama dan pentadbir kepada agensi atau syarikat pengurusan harta seperti MyPusaka supaya objektif pengurusan harta kita selepas mati dapat diuruskan dengan baik.

Seorang pejuang yang gugur syahid di medan perang boleh tergantung amalnya kerana hutang.

Oleh itu uruslah harta dengan sebaiknya. Sebaiknya semaklah polisi kita dengan perunding takaful kita bagaimana pengurusan wang pampasan kita selepas mati. Jika perlu hibah, maka hibahkan. Jika perlu ia ditadbir untuk penyelesaian hutang, maka buatlah sebaiknya.

Cadangan Terbaik.

Harta itu bukan saja mampu memberi keselesaan hidup di dunia, tetapi mampu memberikan kita peluang untuk ke Syurga jika kena pada caranya.

Lagi baik, buat penama dan pentadbir untuk pengurusan penyelesaian hutang, kemudian buat hibah untuk keluarga tercinta dan tambahkan sejumlah hibah untuk masjid, atau persatuan kebajikan atau membuat wakaf harta tersebut untuk kegunaan orang ramai.

Walaupun kita sudah meninggal, keluarga tetap terjaga, hutang-hutang Berjaya dilunas tambah boleh membuat kebajikan.

Teringat pesan Nabi Muhammad dalam hadithnya: “Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (yaitu): sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau do’a anak yang soleh” (HR. Muslim no. 1631)

Leave a Reply

Name *
Email *
Website