75 Peratus Rakyat Malaysia Tiada Simpanan Hatta RM1000.

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
75 Peratus Rakyat Malaysia Tiada Duit Simpanan Hatta RM1000.

Jika hari ini berlaku kecemasan, apakah kita mampu bertahan?

Soalan ini paling tidak digemari oleh ramai orang, kalau boleh semua orang mahu yang baik-baik saja. Tayar kereta tidak pecah, bumbung rumah tidak bocor, anak-anak dan isteri sihat belaka sentiasa, duit di poket sentiasa ada dan tidak pernah kemarau, kereta pula biarlah elok saja tidak akan rosak.

Tetapi malangnya perkara tidak baik itu selalu datang bertamu tanpa dapat dihidu.

Pernah tidak kita tengok di wall FB kita tatkala kita sibuk scroll atas bawah membaca status kawan-kawan, tiba-tiba terbaca status berbunyi begini.

Aduh, terpergi kerja lambat hari ini, kereta tak pasal rosak“.

Biasa bukan?kadang-kala ia terjadi kepada kita sendiri. Beruntunglah mereka yang mempunyai simpanan, dan menjadikan menyimpan duit sebagai tabiat.

Bila berlaku kes kecemasan sedemikian, taklah susah hati sangat. Duit simpanan yang dikumpul boleh membantu untuk meredakan masalah. Apatah lagi kalau masalah itu sifatnya penting untuk diselesaikan pada waktu dan ketika itu kalau tidak akan menyusahkan hati kita contohnya kalau kereta yang digunakan untuk pergi kerja rosak mestilah ia cepat-cepat dibaiki kalau tidak macam mana mahu ke tempat kerja.

Begitu juga kalau bumbung rumah bocor, anak atau isteri sakit. Paling tidak, bila berlaku hal sedemikian, tidak perlu berhutang dengan orang lain hanya semata-mata untuk selesaikan kes kecemasan berkenaan.

Kumpul RM1000 dulu

Apapun cita-cita kita dalam hal kewangan, mahu bebas hutang atau mahu jadi jutawan, ia tidak salah. Tetapi ia dimulakan dengan langkah pertama iaitu MENYIMPAN.

Targetlah RM1000 dulu. Barulah kejar simpanan 3 bulan hingga 6 bulan gaji.

Simpan RM1000 untuk permulaan ini adalah nasihat dan saranan yang diberikan oleh Dave Ramsey, pakar pengurusan kewangan di Amerika yang banyak membantu ramai orang untuk menyimpan dan menyelesaikan hutang dengan cara yang pantas.

RM1000 ini sebagai modal untuk menaikkan semangat dan membina momentum kepada diri kita untuk mula menyimpan. Dan RM1000 ini kebanyakannya mencukupi untuk menampung perbelanjaan kecemasan jika diperlukan.

Terdapat berbagai teknik untuk mengumpul dan menyimpan wang yang telah banyak dikongsikan oleh ramai pakar-pakar kewangan.

Tetapi apapun teknik untuk menyimpan duit, mulakanlah dengan ‘bayar diri sendiri dulu’.

Bayar Diri Sendiri Dulu

“Esok dapat gaji, bayar yang penting-penting dulu. Ada baki barulah menyimpan.”

Biasa bukan dengar nasihat di atas. Dengar boleh buat jangan. Nasihat di atas bunyinya betul tapi hakikatnya kurang tepat.

Dapat gaji atau pendapatan sama ada dari pekerjaan atau keuntungan perniagaan. Perkara pertama yang mesti dibuat dan wajibul wajib hukumnya oleh pakar kewangan ialah ‘bayar diri sendiri dulu’ barulah bayar yang lain.

Kelazimannya, kita menggunakan formula ini.

Pendapatan – Perbelanjaan = Baki Untuk Menyimpan.

Tukarkan kepada.

Pendapatan – Simpanan = Perbelanjaan

Mudah faham, masuk duit gaji saja, simpan dulu baki barulah belanja.

Mulakan Menyimpan Dengan 10 Peratus Dari Pendapatan

Kalau gaji RM2000, simpanlah 10 peratus dari RM2000 iaitu RM200. Baki RM1800 barulah belanja dan bayar bil-bil penting dan kos makan minum dan tempat tinggal.

Begitu juga gaji RM3000, simpanlan 10 peratus dari RM3000 iaitu RM300.

Yang bergaji RM2000, cukup 5 bulan konsisten menyimpan. Bulan ke 5 dah ada RM1000. Yang bergaji RM3000 kalau konsisten menyimpan selama 3 bulan, sudah berjaya kumpulkan simpanan hampir RM1000.

Kalau rasa 10 peratus itu membebankan, mulakan dengan 5 peratus, 4 peratus atau RM50 sebulan. RM 10 mula-mula pun takpe.

Sekurang-kurangnya belajarlah menyimpan. Sebelum melaburkan duit untuk jangka masa panjang contohnya melabur untuk persaraan atau simpan duit untuk beli rumah. Didiklah diri untuk menyimpan dulu 10 peratus dari pendapatan.

Kesemua orang yang berjaya mengekalkan kekayaan mereka bukan kerana berapa banyak duit yang mampu mereka jana, tetapi berapa banyak yang mereka mampu menyimpan.

Menyimpan memang susah, kalau boleh mahu saja kita belanja sakan dengan pendapatan yang kita ada. Ye lah, dah penat bekerja mahu juga reward diri sendiri. Tetapi yang sering terjadi ialah bila selalu reward diri akhirnya belum hujung bulan poket dah kempis.

Reward itu telah bertukar meranapkan diri.

Belajar-belajarlah delay gratification. Apa pulak tu?

Yang itu kita sambung post akan datang. Kenapa delay gratification itu susah dan apa kaitannya dengan berbelanjan menggunakan kad kredit. Tunggu.